Archive for November, 2007

Kecek-kecek bersama Isa Kamari (1/2)

November 22, 2007 by mudin001 7 Comments

Seperti yang dijanjikan, hari ini disiarkan bahagian pertama wawancara atas talian KKTM 3.0 dengan Isa Kamari. Persoalan berkisar tentang fenomena blog dan novel Atas Nama Cinta.

BLOG

Pertamanya, terima kasih kerana sudi diwawancara oleh KKTM 3.0. Kita mulakan dengan fenomena blog itu sendiri. Apa pandangan saudara tentang fenomena blog masa kini?

Bagi saya blog adalah suara. Bersuara harus digalakkan jika yang disampaikan membawa manfaat kepada pembaca. Bersuara dalam blog agak santai dan mesra-pembaca dan mempunyai daya tarikannya yang unik. Jangkauannya juga tidak bertepi.

Saudara mempunyai lawan web www.isakamari.com. Kenapa agaknya saudara tidak memilih konsep blog untuk laman web saudara?

Laman web adalah cerminan keseriusan saya dalam berkarya. Saya tidak mahu suara saya dianggap remeh. Kebanyakan blog (tidak semua) secara lumrah tidak dianggap sebagai penampilan yang serius. Namun pada masa yang sama saya mahukan agar pengunjung senang dengan penampilan laman saya. Saya cuba menggabungkan keseriusan dengan suasana santai. Oleh itu saya membuka ruang Forum agar pengunjung dapat berdiskusi. Saya juga pautkan beberapa usaha-karya multimedia untuk pengunjung.

Dalam perancangan masa hadapan, saya juga bercadang hendak mengembangkan aspek bisnes pada laman saya itu, insya Allah.

ATAS NAMA CINTA

Tidak salah kiranya saya mengatakan saudara dikenali, terutama di Malaysia kerana Atas Nama Cinta. Tahniah atas kejayaan novel tersebut. Soalannya, apa yang mendorong saudara menulis semula kisah Nadra walhal kisah ini sudah lama terjadi? Dari mana sumber-sumber tentang Nadra diperolehi?

Kisah Nadra memang amat tragik. Namun ada aspek-aspek kemanusiaan yang halus dan mendalam pada kisah tersebut. Matlamat saya bukan sahaja mengungkapkan sejarah tetapi menawarkan ‘darah, daging dan wajah’ pada peristiwa yang sedikit sebanyak telah membentuk keperibadian masyarakat kita di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Ada parut hodoh yang harus kita terima secara terbuka dan berani. Saya juga mahu mengangkat beberapa watak dalam kisah itu yang tenggelam dalam sejarah rasmi, seperti Soewaldi, Zainon dan Mansoor. Banyak pelajaran yang dapat kita raih daripada watak-watak tersebut bagi memperhalusi nilai kemanusiaan kita.

Kajian saya berdasarkan buku ‘The Nadra Tragedy’ karya Haja Maideen, ‘A Tangled World’ karya Hugh Eames dan bahan-bahan daripada Arkib. Saya juga mewawancara beberapa ‘orang lama’ untuk mendapatkan maklumat yang mungkin tidak dilaporkan secara rasmi.

Apakah signifikannya kisah Nadra terhadap Malaysia dan Singapura terutamanya dalam perjuangan menentang gejala murtad?

Banyak kesilapan yang telah berlaku dalam kisah tersebut sehingga menyebabkan rusuhan yang menelan jiwa dan merosakkan harta benda awam. Kesilapan-kesilapan itu tidak harus diulangi dan saya ingin agar pembaca memikirkannya secara matang dan jujur. Semoga ia dapat dijadikan sempadan agar musibah yang serupa tidak menimpa kita lagi.

Gejala murtad yang kita alami sekarang berbeza dengan yang dialami Nadra. Nadra berada dalam keadaan di mana beliau tidak mempunyai banyak pilihan selain kembali kepada agama asalnya demi penakatan. Ketika itu beliau pun baru berumur 13 tahun. Berbanding dengan itu, ramai yang murtad pada masa kini atas pilihan sendiri. Ramai yang dari kalangan dewasa.

Bagi menangani gejala murtad serta kelemahan umat Islam pada masa kini, saya telah menulis novel Tawassul (2002) yang akan diterbitkan semula di Malaysia pada Mac 2008, insya Allah.

Dalam bahagian dua esok, beliau akan menjawab persoalan tentang latar belakang penulisannya, sedikit tentang Memeluk Gerhana dan puisi pendek untuk semua pengunjung blog ini.

Jangan lupa datang lagi. Feed blog ini di sini.

PAUTAN PILIHAN: Truth and justice are no longer Malaysian way

Kecek-kecek orang makan gaji: Manfaat

November 21, 2007 by mudin001 7 Comments

Dapat email dari seorang rakan sekerja. Kandungannya seperti di bawah:

download

No money and no life, abanglah tu. Kata Ummu Adam.Haha!

MAKLUMAN: Seperti yang dijanjikan, esok aku akan menyiarkan wawancara bersama Isa Kamari di blog ini. Aku bahagikan kepada dua siri, bukan kerana wawancara itu panjang, tapi saja nak jimatkan entri. Haha!

PAUTAN: Kalau ada masa (35 minit), sila tonton video dari DUN Kelantan ini.

Jumpa lagi esok. Feed blog ini di sini.

Kecek-kecek Buku: Pudarnya Pesona Cleopatra

November 20, 2007 by mudin001 9 Comments

Pudarnya Pesona Cleopatra oleh Habiburrahman El Shirazy. Buku kecil ini sebetulnya memuatkan dua novel mini, Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala. Ia ditulis sebelum Ayat-ayat Cinta dan diterbitkan semula setelah sambutan luarbiasa terhadap Ayat-ayat Cinta.

Pudarnya Pesona Cleopatra mengisahkan seorang pemuda yang menurutkan kemahuan ibunya mengahwini seorang wanita yang tidak dicintainya. Setelah berkahwin beberapa lama, masih belum mampu untuk mencintai isterinya. Kenapa? Kerana terlalu terpesona dengan kecantikan gadis Mesir yang baginya, tidak mungkin wanita Jawa mampu menandingi kecantikan gadis-gadis keturunan Cleopatra itu. Kesudahan cerita ini mengingatkan aku dengan novel-novel tulisan Hamka.

Dalam Setitis Embun Cinta Niyala pula, giliran wanita bernama Niyala itu pula untuk terhimpit antara mengahwini pemuda jahat bernama Roger yang pernah cuba mencabul kehormatannya, atau membiarkan bapa kandungnya terus dibelenggu hutang.

Aku lebih sukakan novel yang kedua. Sesungguhnya watak wanita cantik dan halus budi pekerti yang terhimpit antara kemerdekaan ayahnya dengan kebahagiaan diri sendiri, lebih bisa memberi kesan kepada jiwa, berbanding watak memualkan seorang suami yang tidak boleh mencintai isteri sendiri hanya kerana terbayang-bayangkan kecantikan gadis-gadis yang tidak mungkin pun akan menjadi miliknya.

Selamat membaca.