Kukira Januari tahun ini adalah permulaan yang agak baik dari segi kuantiti (kualiti lain kira) buku yang kubaca. Satu buku seminggu menjadikan jumlah empat buah buku untuk bulan lalu. Mungkin ia dibantu oleh faktor bahawa kerjaku di awal tahun tidak begitu menyesakkan. Juga faktor aku keseorangan di rumah, tiada Ummu Adam menjadi teman bual dan gaduh, tiada Adam untuk dikejar kesana kemari, juga tiada Alya untuk dibelai mesra. Apa pun, aku lebih memilih untuk mereka bersamaku, dan Khamis ini akan kupulang lagi ke kampung. Dengan tujuan untuk mengangkut mereka pulang kemari. Pantang tak pantang, aku apa peduli? Tempat isteri disisi suami, tempat anak-anak bersama si bapa. Haha!

Baiklah, kembali ke topik asal. Selain buku Islam dan Pluralisme yang baru diharamkan, ada tiga lagi buku yang aku baca bulan lalu. Muhammad Abduh: Riwayat Hidup dan Pemikiran adalah sebuah lagi buku yang diterbitkan oleh Middle-Eastern Graduates Centre, disusun oleh Khairul Anam Che Mentri dan Ammar Gazali. Bukunya kecil dan nipis sahaja tapi padat memuatkan secara ringkas kisah hidup dan yang lebih penting pemikiran tokoh yang hebat ini. Pemikiran-pemikiran beliau tidak kurang kontroversinya dan tidak hairanlah beliau dianggap liberal dan dilihat condong ke arah Mu’tazilah, terutamanya dalam persoalan agama dan akal. Apa yang tidak dapat dinafikan, sumbangan beliau dalam mencorakkan dunia Islam adalah amat besar dan gelaran reformis/mujaddid itu amat cocok dengan beliau.

wheremoonsons.jpgSiapa kata membaca komik itu membuang masa? Dan siapa kata sejarah Malaysia itu membosankan? Where Monsoons Meet: A People’s History of Malaya menidakkan kedua-dua dakwaan itu. Persembahan sejarah Tanah Melayu - subjek yang membosankan bagi kebanyakan orang - melalui cara yang unik iaitu komik, menjadikan ia sebaliknya. Tidak bosan langsung. Namun, walaupun persembahannya adalah dikira santai, ia tidak menjejaskan kualiti kandungannya. Pembaca bukan sahaja mempelajari kembali sejarah Tanah Melayu melalui persembahan yang berbeza, malah dari perspektif yang juga berbeza dengan apa yang kita pelajari di sekolah dulu. Malah banyak fakta yang tidak aku ketahui sebelum ini, terutamanya ketika darurat di Tanah Melayu, dihidangkan dalam buku ini. Satu buku mesti baca bagi aku.

Buku terakhir kukira hanya hiburan semata-mata. Buku Forever, oleh penulis kegemaran Ummu Adam, Jude Deveraux. Ya, ya… kamu mungkin mahu ketawakan aku. Silakanlah, haha! Siapa kata Tok Mudin tak boleh jiwang-jiwang? Tambahan pula Ummu Adam jauh nun disana. Hik! Lucu dan menghiburkan, itu saja komen aku untuk buku ini.

Kini giliran kalian pula untuk berkongsi apa yang kalian baca. Jumpa lagi.

Popularity: 30% [?]

Related Articles:

Silakan membaca entri-entri dibawah juga:

Entri dengan komen terbanyak: