Kalau sudah tidak mahu bicara soal politik, apa pula yang mahu dibicarakan? Bukulah, apa lagi?light.jpeg

Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan Isu-isu Sentral, oleh Dr. Ugi Suharto dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Buku ini sebenarnya adalah himpunan tulisan-tulisan penulis seputar persoalan Islam liberal terutamanya pemikiran Islam liberal (Islib) yang berkembang di Indonesia.

Buku ini terbahagi kepada lima bab, bab yang pertama menyentuh tentang isu-isu sentral dalam pemikiran Islib. Penulis mengambil kes yang berlaku di Indonesia dan pengajarannya yang boleh diambil oleh Malaysia. Isu-isu utama yang disentuh penulis ialah sekularisasi dan sekularisme, pluralisme agama, Al-Quran Edisi Kritis, Hermeneutika dan feminisme. Dalam persoalan pluralisme misalnya, penulis berhujah bahawa Islam mengakui adanya religious plurality, iaitu menerima adanya perbezaan dan kepelbagaian agama. Bagaimanapun, Islam menolak fahaman religious pluralism yang menyamakan semua agama.

Dalam bab kedua, penulis membincangkan lebih lanjut lagi persoalan sekularisme dari kaca mata dua orang sarjana Muslim terkemuka kontemporari, iaitu Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Yusuf al-Qardawi. Sebagai kesimpulan bolehlah dikatakan bahawa kedua-dua ulama itu sepakat bahawa sekularisme itu bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, bahkan menentang Islam.

Dalam bab ketiga dan keempat, penulis menyentuh tentang usaha pihak tertentu untuk mencabar kesahihan dan kewibawaan Mushaf Uthmani. Usaha sepeti yang cuba dilakukan oleh kumpulan Islam liberal yang ingin menyediakan satu gagasan Quran edisi kritis, dan juga penggunaan hermeneutik dalam pentafsiran al-Quran.

Bab yang terakhir pula cuba melihat satu lagi aspek yang menjadi serangan oleh pihak Islam liberal, iaitu ilmu hadith. Golongan anti hadis dan juga orientalis mendakwa bahawa ilmu hadith adalah suatu ajaran palsu yang muncul hanya 200-250 tahun selepas hijrah. Penulis memaparkan kembali tesis dan kajian-kajian Prof M. Azami yang membuktikan hadith telah ditulis sejak zaman awal Islam lagi.

Kesimpulan dari aku, aku merasakan buku ini satu buku yang baik dan mudah untuk dibaca, terutamanya kepada sesiapa yang baru mahu berkenalan dengan topik ini. Cuma aku mengharapkan penulis akan lebih memberi tumpuan dan mengulas dengan lebih lanjut tentang persoalan pluralisme yang disentuh sedikit sahaja sebagai sub-topik dalam bab yang pertama.

Apa pun, semoga kerja Dr. Ugi Suharto ini dapat dijadikan panduan untuk menghadapi serangan-serangan pemikiran terhadap Islam yang sentiasa datang dari luar dan dalam pada masakini. Semoga Allah meredhai kerjanya, Insya Allah.

Popularity: 31% [?]

Related Articles:

Silakan membaca entri-entri dibawah juga:

Entri dengan komen terbanyak: