Pertamanya, mari kita sama-sama mendoakan kesihatan kepada Tuan Guru Presiden PAS yang dimasukkan ke IJN petang tadi.
Sekarang, berbalik kepada tajuk entri ini. Aku tidak berniat untuk menjadi ahli tafsir untuk mengupas apa yang tersurat dan tersirat dalam wawancara Tuan Guru tersebut. Cuma, aku merasakan ia penting untuk dibincangkan dan diperhalusi di semua peringkat, oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja, sama ada di blog-blog, surau-surau, usrah-usrah mahupun kedai kopi.
Baik aku mulakan.
- Aku melihat, luahan hati Tuan Guru, terutamanya dalam hal kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, adalah juga luahan hati majoriti ahli PAS diperingkat akar umbi, terutamanya yang memang bekerja kuat, sebelum mahupun selepas pilihanraya. Bukan orang yang kecek saja macam aku. Haha! Rata-rata merasakan agak terpinggir selepas kemenangan dalam PRU baru-baru.
- Namun, aku merasakan majoriti ahli PAS juga masih komited untuk bersama dalam Pakatan Rakyat. Masih belum sampai tahap mahu bercerai-berai, apatah lagi untuk merujuk kembali kepada Barisan Nasional yang pernah menceraikan PAS suatu masa dulu. Pandangan Anak Bapa, Salah Besarkah Kita Apabila Bermuafakat Di Dalam Pakatan Rakyat? wajar diteliti.
- Jika pandangan Tuan Guru berkaitan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah pandangan majoriti ahli PAS, aku berpendapat sebaliknya tentang rundingan dengan UMNO. Sila lihat aku menggunakan perkataan rundingan di sini, bukan dakwah seperti yang disebut oleh Tuan Guru.
- Dalam mengakui bahawa betulnya dan sememangnya begitulah yang sepatutnya dalam konteks PAS perlu berdakwah kepada siapa sahaja, aku menolak jika benar ada rundingan untuk PAS merujuk kembali kepada BN. Sila perhatikan bahawa aku mengatakan jika benar ada rundingan.
- Jika benar ada rundingan, aku tidak setuju dengan cakap-cakap bahawa ahli perlu taat kepada pemimpin kerana pemimpin adalah ulama yang lebih tahu bla, bla, bla. Aku juga tidak setuju untuk menyamakan rundingan tersebut (jika ada) dengan Perjanjian Hudaibiyah. Kenapa? Kerana walaupun ada sahabat yang tidak setuju dengan baginda Rasullullah SAW dalam perjanjian itu, sepertimana aku merasakan majoriti ahli PAS tidak setuju dengan rundingan PAS menyertai BN (jika ada), tapi Rasulullah adalah Rasulullah. Dan pimpinan kita bukan rasul. Hari ini, kita mengkaji dan mengupas bahawa Perjanjian Hudaibiyah adalah sangat tepat dan bukti hikmahnya dakwah Rasulullah. Tapi bolehkah kita nanti mendakwa bahawa rundingan PAS-BN (jika ada) adalah suatu hikmah, apatah lagi majoriti di peringkat akar umbi tidak bersetuju. Jadi dalam hal ini, keputusan perlu dipulangkan kepada semua ahli. Pimpinan mahupun ulama tidak berhak membuat keputusan atas alasan mereka lebih tahu, dan ahli perlu taat!
- Siapa boleh beri jaminan, UMNO akan lebih baik dari Pakatan Rakyat? Atau, perlukah PAS kembali berseorangan?
Lontaran pandangan di atas, aku sertakan juga dengan reaksi-reaksi berbeza di bawah, untuk sama-sama kita bincang:
Popularity: 15% [?]