Ketupat Cinta: Musim Pertama oleh Faisal Tehrani.
Kalaupun ini bukan buku terbaik FT, Ketupat Cinta tentunya buku yang paling sedap dan enak dinikmati. Kalaupun tidak menjilat jari, tentunya meleleh air liur kerana banyak tersengih sendiri.
Dalam buku ini, pembaca bukan sahaja menemui pelbagai resepi masakan Melayu lama, bahan-bahan dan cara memasaknya dan falsafah di sebalik setiap masakannya. Malah, sebenar-benarnya buku ini adalah sebuah satira politik yang menyentuh pergolakan siasah masa kini dengan adunan yang sungguh bijak sekali. Pengekor isu-isu semasa, pastinya tidak sukar untuk mencari perkaitan antara kisah-kisah dalam Ketupat Cinta dengan peristiwa sebenar semasa. Bolehlah diibaratkan FT sebagai tukang masak handalan yang mengambil bahan-bahan dari isu semasa, digaulkan dengan ramuan-ramuan masa lalu, dihidangkan sebagai Ketupat Cinta, untuk makanan minda.
FT juga bijak mencipta watak-watak dalam Ketupat Cinta. Ah, bagaimana bijaknya tidaklah dapat hakir babadkan di sini. Kenalah baca sendiri. Di sini, biarlah aku memetik ulasan Kak Najibah seperti berikut:
Setiap watak itu bagi saya tidak mewakili individu tertentu dalam krisis siasah Malaysia, tetapi mewakili kelompok-kelompok tertentu.
Parameswara misalnya mewakili pihak yang memegang kekuasaan; isteri tua baginda Kamarul Ajaib mewakili mereka yang pernah berkuasa tetapi telah berundur, dan meliputi juga mereka yang berada di ambang terlucutnya kuasa. Lo’ Lo’ Ganish permaisuri asal Pasai yang rupawan, adalah kelompok agama yang terseret ke dalam kancah politik secara tidak wajar menurut pandangan pengarang (FT). Tun Rosjah pula, meskipun peristiwa di sekitarnya sangat menyerupai peristiwa yang telah berlaku di sekitar individu tertentu, namun masih juga bukan seratus peratus serupa.
Betul, betul, betul. Kalau oleh toyol, akan disebut correct.
Tentunya penulisan yang baik, bukan sekadar sebagai hiburan untuk disengihkan. Tapi dapat memberikan ilmu dan kefahaman baru, ada mesej dan pengajarannya, dan buku ini juga cemerlang pada sisi ini. Persoalan kecintaan terhadap Ahlul Bait Nabi SAW, bahayanya perbuatan fitnah dan mengadu domba dan banyak lagi, boleh didapati disentuh dengan begitu banyak dalam novel ini.
Apa yang penting bagi aku, seperti yang diperikan dalam bab terakhir novel ini iaitu dalam warkah Tun Halimah kepada Lepat, adalah tentang peri pentingnya memilih pemimpin yang benar untuk memimpin ummah. Pemimpin bagaimana agaknya ya? Adakah pemimpin seperti Parameswara yang kuat tidur, atau Tun Rosjah yang sukakan hiburan, atau Kamarul Ajaib yang jahil agama? Bacalah sendiri.
Dan aku dengan ini, mencadangkan juga buku ini dibaca oleh semua ahli-ahli PAS yang bakal memilih kepimpinan baru pada Jun nanti.
Sekian ulasan hakir. 