Posts Tagged ‘ Buku ’

September/Ramadhan dan apa yang aku baca

October 9, 2008 by mudin001 9 Comments

Kalau Abe Said Mirro mengatakan progresnya dalam pembacaan pada Ramadhan yang baru berlalu masih belum baik walaupun dapat menghadam tiga buah buku, maka progres aku tersangatlah buruk.

Rupanya masa untuk membaca menjadi begitu terhad, hanya hujung-hujung minggu yang dapat digunakan. Itupun, setelah keletihan melayani Adam dan Alya.  Maka, hanya sebuah buku yang aku habiskan sepenuhnya, walaupun ada juga membelek-belek buku lain seperti Falsafah Hidup (Hamka), Dilema Melayu (Dr. Mahathir) dan Menjawab Persoalan Fikah Harian (Haron Din).

Buku yang dimaksudkan ialah Once Removed oleh Andrew Leci. Sebetulnya ia adalah sebuah diari seorang expatriate bernama Graham Wallace. Mengekori kehidupannya selama enam bulan di Malaysia pada 2007, memang menyebabkan aku tidak kering gusi, sengih sendirian. Lawaknya memang lawak. Haha!

Tapi itu sajalah. Hiburan semata. Tidak banyak yang boleh diambil dari buku ini, selain merasa jelek dengan kehidupan manusia tidak beragama, hidup seolah-olah tidak bertujuan. Kerja, seks, minuman keras, mabuk, bola sepak. Hrmm… minta dijauhkan diriku dan keluargaku dari kehidupan sebegitu. Moga hidup sentiasa dalam hidayah Allah.

Kalian, baca apa?

Ogos dan apa yang aku baca

September 4, 2008 by mudin001 7 Comments

Kalau dikira bilangan entri di blog ini, bulan lalu merupakan bulan yang paling tidak produktif bagi aku. Apa tidaknya, bermusafir hampir selama dua minggu, menjadikan sukar untuk aku mendapatkan talian Internet, apatah lagi mengemaskini blog.

saga1.jpgTapi kiranya, waktu bermusafir itu memberikan lebih banyak ruang untuk aku membaca. Keseorangan di bilik hotel, apa lagi yang lebih baik dibuat berbanding membaca kan? Jadi bulan lalu, aku habiskan tiga buah buku. Pertamanya, novel Saga Horizon tulisan Fadli al-Akiti. Terus terang aku katakan buku seperti ini bukan jenis buku yang selalu aku baca. Kalau tidak kerana King Binjai memperkenalkan aku kepada penulisnya di pesta buku lalu, mungkin aku tidak akan pernah tahu tentang buku ini, apatah lagi ia diterbitkan oleh Alaf 21, penerbit buku-buku yang selalunya aku elakkan. :)

Mengejutkan, aku suka buku ini. Plot ceritanya menarik bagi aku, mungkin unik. Entahlah, kerana aku bukannya pembaca sai-fai. Aksi pertempuran berbau darah berselang seli dengan catatan-catatan si periwayat Sobri, bukan sekadar menghiburkan, tapi juga membawa pembaca (aku) menginsafi bahawa kita manusia, sebijak mana pun, tetap ada Yang Maha Mengaturkan. Dan sudah sifatnya, pertembungan antara yang baik dan jahat, hitam dan putih, kabur dan terang itu akan sentiasa berlaku, sampai bilapun. Aku tidak menyesal membeli dan membaca buku ini. Oh ya, aku juga berjaya meneka dengan betul kitab tidak bernama yang dipetik dalam buku ini, Muqaddimah Ibn Khaldun. Hehheh!

IMAGE_01632.jpgKedua, novel The Pilgrimage oleh Paulo Coelho. Novel yang sangat membosankan dan sangat inferior berbanding The Alchemist. Kalaulah aku membaca The Pilgrimage terlebih dahulu sebelum The Alchemist, aku mungkin tidak akan menyentuh buku-buku Coelho lagi. Tapi sebenarnya tidak menghairankan, kerana The Pilgrimage adalah karyanya yang pertama.

3695580.jpgBuku yang ketiga ialah Aku Terima Nikahnya oleh Us Hasrizal Abdul Jamil. Aku sengaja melambatkan membaca buku ini kerana sebilangan besar kandungannya telah aku baca diblognya saifulislam.com. Apa yang memeranjatkan, bila aku mula membacanya, tidak terasa bosan mengulang baca apa yang telah aku baca sebelum ini, malah laju pula aku menghabiskannya. Aku banyak bermuhasabah dengan buku ini. Muhasabah aku sebagai seorang suami, bapa, anak, dan juga sebagai orang yang mengaku berjuang untuk jalan Allah. Kupasan terbaru tentang buku ini boleh dibaca di entri ini.

Julai dan apa yang aku baca

August 1, 2008 by mudin001 8 Comments

Ogos tiba. Pengunjung tetap blog ini pasti menyedari kurangnya kekerapan aku mengemaskini blog ini akhir-akhir ini. Sesungguhnya ia bukanlah disengajakan dan bukan juga kerana aku tidak punya hal yang mahu dikecekkan. Tapi sememangnya jadual hidupku; kerja, keluarga dan aktiviti-aktiviti lain makin padat, yang tidak memungkinkan aku untuk berblog seperti biasa. Bulan lalu, aku hanya mampu menghasilkan 15 entri, berbanding purata 21 entri untuk enam bulan pertama tahun ini. Dan bulan-bulan mendatang mungkin akan lebih menyesakkan untuk aku. Jadi, jangan berhenti untuk datang ke sini, sekurang-kurangnya kehadiran kalian akan terus memotivasikan aku untuk cuba mencuri masa mencoret sesuatu di sini.

Baiklah, apa yang aku baca bulan lalu. Semestinya dengan kesibukan yang melanda, masa membaca juga berkurangan. Aku hanya mampu menghabiskan dua buah buku bulan lalu. Buku pertama, buku yang banyak kali aku sebutkan di blog ini, Dari Beirut ke Jerusalem oleh Dr Ang Swee Chai. Buku ini begitu mengesankan. Jarang sekali ada buku, fiksyen mahupun bukan fiksyen yang mampu menyentap emosi aku sehingga terpaksa menahan air mata dari terburai dihadapan isteri dan anak-anak. Tak beshlah baca buku boleh nangis kan? Cerita pengorbanan dan perjuangan wanita-wanita Palestin untuk meneruskan kehidupan di kem pelarian, tanpa suami dan anak lelaki tempat bergantung misalnya, benar-benar menyentuh perasaan aku. Bilakah agaknya pemusnahan terancang terhadap rakyat Palestin ini akan berakhir agaknya? Atau soalan yang lebih penting, apakah agaknya yang kita sumbangkan untuk mereka? Perlukan aku memetik kata-kata Nabil sekali lagi?

Kita ke buku yang kedua. Buku ini lebih santai sifatnya. Daripada tajuknya pun kita pasti dapat menjangkakan jenis bukunya. Buku itu ialah Honk! If you’re Malaysian, oleh Lydia Teh. Sarkastik? Mungkin. Sangat baik bukunya? Bagi aku okla, tak adalah besh sangat. Kalau dari lima bintang, aku bagi tiga sahaja.

Sekarang, giliran kalian pula. Apa yang kalian baca? Tujuh buah buku, mungkin? Atau kalian mengalami reader’s block?