Isu nama Allah: Di mana Dewan Ulama PAS?
* Tulisan ini agak panjang dari biasa. Harap boleh baca sampai habis.
Perbezaan pendapat dalam agama (khususnya Islam) bukan sesuatu yang baru. Dan aku sentiasa bersedia untuk menerima pendapat yang berbeza-beza dalam sesuatu hal.
Dalam isu nama Allah, walaupun pada dasarnya aku berpendapat bahawa sesiapa saja boleh menggunakan nama Allah, Islam mahu pun bukan Islam, aku tetap meraikan mereka yang berbeza pendapat dengan aku.
Pandangan yang berbeza-beza
Aku bersetuju dengan TG Nik Aziz.
Pada masa yang sama, aku boleh menerima hujah Faisal Tehrani yang menentang. Bahawa di dalam Bible tidak pernah ada kalimah Allah. Tapi aku tidak bersetuju dengan nadanya yang seolah-olah menyindir Tok Guru dan menuduh Tok Guru sebagai mahu menjaga hati kawan-kawan dalam Pakatan Rakyat.
Aku boleh faham kenapa Mamu Mahaguru58 begitu menentang penggunaan nama Allah oleh bukan Muslim.
Aku boleh menerima pandangan Us Hasrizal, yang antara lain menimbulkan kehairanan, kenapa The Herald begitu bersungguh mahu menggunakan nama Allah? Seolah-olah ada agenda tersembunyi.
Aku juga boleh bersetuju dengan hujah-hujah Dr Khalif Muammar yang menentang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dan Dr. Maza yang lebih cenderung kepada membolehkan.
Itulah indahnya Islam, yang meraikan perbezaan, selagi mana tidak ada nas yang qat’i. Malah perdebatan sebegini sangat baik bagi aku, kerana membuka ruang untuk meneroka khazanah ilmu yang luas itu.
Ahli Parlimen PAS tidak sehaluan
Tapi, kejadian ahli Parlimen PAS tidak sehaluan dalam isu ini di Parlimen, aku kira tidak baik untuk PAS. Dalam satu segi, ya, ia menggambarkan keterbukaan PAS. Bahawa PAS meraikan perbezaan pendapat dan amalan demokrasi itu hidup dalam PAS.
Tapi bagi aku, biarlah perbezaan pendapat dan demokrasi itu hidup dalam forum-forum dalaman PAS. Terutamanya menyentuh isu-isu yang sensitif dan kontroversial seperti ini. Berhujahlah. Dan carilah konsensus. Apabila di Parlimen, ahli-ahli Parlimen PAS, sepatutnya membawa suara konsensus PAS. Kerana mereka, selain wakil rakyat, adalah juga wakil parti yang dipilih untuk mewakili rakyat di kawasan masing-masing. Kalau tidak boleh juga bersetuju dengan keputusan yang telah dicapai. Diamlah. Jangan nak tunjuk sangat bahawa kita - satu parti - tidak sehaluan.
Di mana Dewan Ulama PAS?
Jadi, berbalik kepada soalan dalam tajuk tulisan ini. Di mana Dewan Ulama PAS? Benarkah ada pendirian rasmi dari Dewan Ulama? Apa dia? Adakah pandangan TG Nik Aziz adalah pandangan Majlis Syura Ulama? Adakah pandangan Ustaz Taib Azamudin pandangan rasmi PAS? Atau pandangan Khalid Samad dan Dr Dzulkifli merupakan pandangan rasmi?
Atau aku terlepas pandang sesuatu?















Aku. Aku bukanlah Tok Mudin yang potong orang punya itu. Aku lelaki yang telah pun disunatkan. Suami kepada seorang isteri. Bapa kepada seorang putera dan seorang puteri, Adam Naqiuddin dan Alya Wafiyah. Apa lagi yang kalian mahu tahu? Email aku di admin@mudin001.com