Posts Tagged ‘ Fadli al-Akiti ’

November dan apa yang aku baca

December 3, 2008 by mudin001 5 Comments

Dua buah karya fiksyen. Satu Bahasa Melayu dan satu Bahasa Inggeris. Kedua-duanya aku kira karya yang bagus. Pertama, The Kite Runner oleh Khaled Hosseini, telah pun aku kecekkan.

Kedua, karya penulis yang tidak asing di tanah Melayu, 1511H [Kombat] oleh Faisal Tehrani. Aku kira, ini bukanlah karya terbaik FT. Atau sebetulnya, bukan karya FT yang paling aku suka. Sepanjang membaca buku ini, aku tidak henti-henti membandingkannya dengan Saga Horizon oleh Fadli al-Akiti. Kedua-duanya karya futuristik, kedua-duanya cerita perang. Tetapi entah mengapa, aku lebih menyukai Saga Horizon. Barangkali kerana karya FT itu terlalu idealis. Terlalu sempurna. Dan walaupun kita semua mahukan kesempurnaan, ia sukar ditemui, bahkan mungkin tiada.

Ah! Bicara tentang buku, siang tadi urusan aku di Ijok dan Batang Berjuntai selesai awal. Alang-alang sudah keluar ke tapak, malas mahu kembali ke pejabat. Aku terus ke KLCC. Sambil menunggu Ummu Adam habis kerja, aku membunuh masa di celahan rak-rak buku di Kinokuniya. Aku bawa ke kaunter bayaran hanya satu, The Interpretation of Dreams oleh Sigmund Freud.

Ummu Adam tanya beli apa di Kino. Aku jawab, tu… nak cuba-cuba jadi ahli tafsir mimpi. :)

Kalian?

Ogos dan apa yang aku baca

September 4, 2008 by mudin001 7 Comments

Kalau dikira bilangan entri di blog ini, bulan lalu merupakan bulan yang paling tidak produktif bagi aku. Apa tidaknya, bermusafir hampir selama dua minggu, menjadikan sukar untuk aku mendapatkan talian Internet, apatah lagi mengemaskini blog.

saga1.jpgTapi kiranya, waktu bermusafir itu memberikan lebih banyak ruang untuk aku membaca. Keseorangan di bilik hotel, apa lagi yang lebih baik dibuat berbanding membaca kan? Jadi bulan lalu, aku habiskan tiga buah buku. Pertamanya, novel Saga Horizon tulisan Fadli al-Akiti. Terus terang aku katakan buku seperti ini bukan jenis buku yang selalu aku baca. Kalau tidak kerana King Binjai memperkenalkan aku kepada penulisnya di pesta buku lalu, mungkin aku tidak akan pernah tahu tentang buku ini, apatah lagi ia diterbitkan oleh Alaf 21, penerbit buku-buku yang selalunya aku elakkan. :)

Mengejutkan, aku suka buku ini. Plot ceritanya menarik bagi aku, mungkin unik. Entahlah, kerana aku bukannya pembaca sai-fai. Aksi pertempuran berbau darah berselang seli dengan catatan-catatan si periwayat Sobri, bukan sekadar menghiburkan, tapi juga membawa pembaca (aku) menginsafi bahawa kita manusia, sebijak mana pun, tetap ada Yang Maha Mengaturkan. Dan sudah sifatnya, pertembungan antara yang baik dan jahat, hitam dan putih, kabur dan terang itu akan sentiasa berlaku, sampai bilapun. Aku tidak menyesal membeli dan membaca buku ini. Oh ya, aku juga berjaya meneka dengan betul kitab tidak bernama yang dipetik dalam buku ini, Muqaddimah Ibn Khaldun. Hehheh!

IMAGE_01632.jpgKedua, novel The Pilgrimage oleh Paulo Coelho. Novel yang sangat membosankan dan sangat inferior berbanding The Alchemist. Kalaulah aku membaca The Pilgrimage terlebih dahulu sebelum The Alchemist, aku mungkin tidak akan menyentuh buku-buku Coelho lagi. Tapi sebenarnya tidak menghairankan, kerana The Pilgrimage adalah karyanya yang pertama.

3695580.jpgBuku yang ketiga ialah Aku Terima Nikahnya oleh Us Hasrizal Abdul Jamil. Aku sengaja melambatkan membaca buku ini kerana sebilangan besar kandungannya telah aku baca diblognya saifulislam.com. Apa yang memeranjatkan, bila aku mula membacanya, tidak terasa bosan mengulang baca apa yang telah aku baca sebelum ini, malah laju pula aku menghabiskannya. Aku banyak bermuhasabah dengan buku ini. Muhasabah aku sebagai seorang suami, bapa, anak, dan juga sebagai orang yang mengaku berjuang untuk jalan Allah. Kupasan terbaru tentang buku ini boleh dibaca di entri ini.