Posts Tagged ‘ Lydia Teh ’

Julai dan apa yang aku baca

August 1, 2008 by mudin001 8 Comments

Ogos tiba. Pengunjung tetap blog ini pasti menyedari kurangnya kekerapan aku mengemaskini blog ini akhir-akhir ini. Sesungguhnya ia bukanlah disengajakan dan bukan juga kerana aku tidak punya hal yang mahu dikecekkan. Tapi sememangnya jadual hidupku; kerja, keluarga dan aktiviti-aktiviti lain makin padat, yang tidak memungkinkan aku untuk berblog seperti biasa. Bulan lalu, aku hanya mampu menghasilkan 15 entri, berbanding purata 21 entri untuk enam bulan pertama tahun ini. Dan bulan-bulan mendatang mungkin akan lebih menyesakkan untuk aku. Jadi, jangan berhenti untuk datang ke sini, sekurang-kurangnya kehadiran kalian akan terus memotivasikan aku untuk cuba mencuri masa mencoret sesuatu di sini.

Baiklah, apa yang aku baca bulan lalu. Semestinya dengan kesibukan yang melanda, masa membaca juga berkurangan. Aku hanya mampu menghabiskan dua buah buku bulan lalu. Buku pertama, buku yang banyak kali aku sebutkan di blog ini, Dari Beirut ke Jerusalem oleh Dr Ang Swee Chai. Buku ini begitu mengesankan. Jarang sekali ada buku, fiksyen mahupun bukan fiksyen yang mampu menyentap emosi aku sehingga terpaksa menahan air mata dari terburai dihadapan isteri dan anak-anak. Tak beshlah baca buku boleh nangis kan? Cerita pengorbanan dan perjuangan wanita-wanita Palestin untuk meneruskan kehidupan di kem pelarian, tanpa suami dan anak lelaki tempat bergantung misalnya, benar-benar menyentuh perasaan aku. Bilakah agaknya pemusnahan terancang terhadap rakyat Palestin ini akan berakhir agaknya? Atau soalan yang lebih penting, apakah agaknya yang kita sumbangkan untuk mereka? Perlukan aku memetik kata-kata Nabil sekali lagi?

Kita ke buku yang kedua. Buku ini lebih santai sifatnya. Daripada tajuknya pun kita pasti dapat menjangkakan jenis bukunya. Buku itu ialah Honk! If you’re Malaysian, oleh Lydia Teh. Sarkastik? Mungkin. Sangat baik bukunya? Bagi aku okla, tak adalah besh sangat. Kalau dari lima bintang, aku bagi tiga sahaja.

Sekarang, giliran kalian pula. Apa yang kalian baca? Tujuh buah buku, mungkin? Atau kalian mengalami reader’s block?