Posts Tagged ‘ Thomas Friedman ’

Disember, buku dan aku

January 3, 2008 by mudin001 9 Comments

The Known World oleh Edward P. Jones, kisah kehidupan hamba-hamba kulit hitam di Manchester County, Virginia lewat kurun ke-19. Gaya penceritaannya yang menarik, selalunya melucukan, menjadikan novel ini menarik untuk dibaca walaupun kisahnya tragis, menekan minda dan emosi aku. Orang kulit hitam tidak lebih dari barang dagangan, mungkin setaraf atau lebih hina dari kuda dan keldai diperlakukan oleh orang kulit putih.

Gadis Jakarta oleh Najib Kaelani, aku agak kecewa dengan buku ini. Subjeknya menarik, tentang pergolakan politik Indonesia pada pertengahan tahun 60-an. Perjuangan seorang gadis untuk mencari bapanya, seorang pemimpin Masyumi yang ‘hilang’ dalam kekacauan politik yang disebabkan oleh Partai berideologi komunis yang cuba menguasai Indonesia ketika itu. Malangnya, plotnya terlalu simplistik bagi aku. Penulis gagal menggambarkan suasana ‘kacau’ yang sebenar melainkan menceritakan keganasan Partai menangkap, mendera dan membunuh musuh-musuh politik mereka. Mungkin kerana ia ditulis oleh seorang penulis Mesir yang tidak pernah menjejakkan kakinya ke Indonesia sekali pun.

From Beirut to Jerusalem oleh Thomas Friedman adalah sebuah lagi buku yang agak mendera minda dan emosi aku. Buku ini adalah coretan pengalaman penulis sebagai jurnalis yang pernah bertugas di Beirut dan Jerusalem pada lewat tahun 70-an hingga pertengahan 80-an. Mengikuti pengalaman-pengalaman beliau adalah menarik dan membuka minda. Tetapi membaca tentang pertelingkahan Palestin-Israel yang tak sudah-sudah, tidak semudah membaca novel fiksyen. Dan ia tidak dibantu dengan fakta bahawa penulis adalah seorang Yahudi. Walau sebaik mana pun penulis cuba untuk rasional dan objektif, aku tidak dapat menghindarkan persepsi bahawa penulis, kalau tidak banyak pasti sedikit tidak akan berlaku adil terhadap rakyat Palestin khususnya dan Islam amnya dalam tulisannya itu. Buku dengan tajuk yang sama ditulis oleh Dr. Ang Swee Chai akan menjadi keutamaanku apabila berkunjung ke kedai buku nanti.

Bagaimana dengan kalian? Buku apa yang kalian baca di akhir 2007? Berapa buah bukukah yang kalian baca tahun lalu?